OUR STREAMERS

FIFA21: Dorongan Ibu Ayah Sumber Inspirasi Chamack

Posted by Nadzreen on July 17, 2021

Siapa cakap bermain permainan video anda tidak boleh berjaya??. Ramai juga yang membuktikan bermain permainan video ini juga mampu membina kerjaya dan menjana pendapatan. Itulah luahan anak muda kelahiran Selangor ini, Muhammad Muzaffar Zuhair Bin Mustaffa , 18, lebih dikenali sebagai CHAMACK merupakan pemain profesional e-Sukan FIFA.

Anak muda yang menetap di Ampang ini, membuktikan dimana seorang pemain e-Sukan juga mampu membahagikan masa dalam akedemik sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Malaysia (SPM).

Keputusan SPM Chamack

Menurutnya, dia begitu komited dalam akedemik dan bidang e-Sukan kerana ingin membuktikan tidak semestinya bermain permainan video mampu memperoleh keputusan yang cemerlang.

"Alhamdulillah, dengan berkat usaha dan fokus dalam akedemik saya komited untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang demi mengharumkan nama keluarga.

"Saya berjaya mendapat kesemua mata pelajaran A's, dan saya sangat gembira dengan apa yang diusahakan selama ini membuahkan hasil," katanya.

Tidak hanya bermain permain video, dia juga merupakan seorang pemain bola sepak yang turut mewakili sekolah dan kelab bola sepak.

Dia yang belajar di Sekolah Menengah Aminuddin Baki itu, berkata rakan dan cikgu sentiasa menyokong dan memberi sokongan penuh kepadanya.

"Cikgu saya merupakan admin kepada Facebook sekolah dan sekiranya saya ada pertandingan pasti cikgu itu akan memuatnaik gambar dan info pertandingan.

"Rasa bangga dapat mengharumkan nama sekolah dalam bidang ini dan juga akademik," katanya.

Masa belajar dan masa bermain FIFA

Diajukan soalan berkenaan bagaimana dia membahagikan masa belajar dan bermain fifa dan ini jawapanya.

"Pada hari biasa saya akan habiskan rutin biasa saya pergi sekolah dan balik pada jam 3 petang. Ada masa saya akan berlatih bersama pemain pro yang lain.

"Tahun lepas saya, tak silap hari sebelum menduduki kertas Bahasa Melayu, saya ada pertandingan yang tidak dapat dielakkan. Namun saya berjaya membahagikan masa saya untuk belajar dan main FIFA," katanya.

Ditanyakan mengenai awal penglibatan dalam e-Sukan ini, Chamack berkata dia pada mulanya hanya sekadar suka-suka dan tidak memikirkan akan berada ditahap sekarang.

"Main sebab abang main bersama terutama Fifa. Biasalah awal dulu tak pandai main dan abang saya turut mengajar saya.

"Seingat saya pertandingan pertama saya masuk pada tahun 2017 pada masa itu berusia 14 tahun. Saya berjaya melayakkan diri pada peringkat kalah mati dan saya berlawan dengan AM Tuah," katanya.

Baginya itu merupakan pengalaman pertama dan itu adalah batu loncatan buat dirinya untuk berada dalam bidang ini.

"Walaupun kalah pada masa itu saya menjadikan pertandingan itu sebagai pengalaman baru dan saya yakin saya boleh pergi jauh lagi," katanya.

Chamack berkata, ibunya, Zaleha Yusof pada mulanya agak keberatan untuk melepaskan anaknya itu kerana baru berusia 14 tahun dan tidak tahu mengenai pertandingan FIFA.

"Disebabkan masih terlalu muda dan saya masih ingat ibu saya banyak bertanya mengenai pertandingan itu.

"Selepas pertandingan itu, saya lebih banyak menyertai pertandingan itu dianjurkan pihak GAMESBOND yang kini lebih terkenal dengan melahirkan bakat-bakat baru pemain FIFA," katanya.

Menurutnya, kejayaan yang dikecapinya dalam bidang ini bukanlah satu jalan yang mudah dan banyak jatuh bangun juga terpaksa dihadapinya.

"Antara pencapaiannya adalah National Champion Bulan Sukan Negara (Selangor), Juara ConveFest MMU, Juara KL Esports Community Cup, Juara Nivea GrandFinal, Juara Lunar Cup.

"Paling terbaru Juara VBL 2021 peringkat Serantau (Malaysia dan Indonesia ) dan Top 8 VBL 2021 Asia," katanya.

Tekanan sebagai pemain E-sukan FIFA

Dia berkata, tekanan sebagai pemain e-Sukan itu biasa apabila berada di tahap ini.

"Jika kita terlalu emosi dan mengikut perasaan kita akan mudah hilang fokus. Biasalah, ada yang tidak suka dengan cara permainan saya dan ada yang beranggapan mereka lebih jauh lebih baik.

"Saya tidak hiraukan apa yang mereka ingin katakan. Mak saya je boleh kritik saya," katanya sambil ketawa kecil.

Reaksi Chamack apabila berjaya memenangi perlawanan.

Kekal momentum untuk berada di tahap ini

"Apa yang membezakan saya dan pemain terdahulu adalah saya berada dalam peredaran masa yang tepat dan dulu tiada banyak pertandingan seperti sekarang.

"Permainan video FIFA kini lebih mengembang dan kini ramai pemain dan bakat baru mula menunjukkan cara permainan mereka berbeza-beza.

Menurut anak bongsu dari tiga beradik ini, dia tidak boleh merasa selesa ditahap sekarang dan perlu membuat penambahbaikan cara perlawanannya.

"Saya kena sentiasa cari masa untuk latihan teknik, corak taktikal dan pelbagai lagi. Jangan terlalu selesa kita berada ditahap sekarang dan saya perlu sentiasa ingat dimana saya bermula,"katanya.

Kebanggaan Keluarga

Siapa tidak bangga sekiranya anak yang disayangi dapat membanggakan nama keluarga bukan saja dalam bidang e-Sukan malah dalam pelajaran juga.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T dengan kejayaan demi kejayaan yang diberikan kepada anak kami.

"Kami sangat bangga dengannya keputusan cemerlang yang diperoleh semua A's dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru ini," katanya.

Penerimaan Awal

Pada mulanya, Nazwan Adlin Abbas menginginkan anaknya untuk bergiat aktif dalam bidang sukan bola sepak.

"Saya ingin dia jadi pemain bola sepak professional sebenarnya dan sejak kecil lagi sudah memberi pendedahan dalam dunia bola sepak.

"Saya akan membawa dia pergi latihan kelab setiap hujung minggu,"katanya.

Menurutnya, bakat anaknya itu mula kelihatan apabila dia mula bermain secara serius ketika berusia 14 tahun.

"Awalnya dia bermain dengan abangnya dan rakan yang sering ke rumah dan sejak itu saya nampak dia mula untuk menyertai pertandingan Fifa ini," katanya.

Sebagai ibu bapa apa yang penting memberi dorongan dan sokongan kepadanya.

Pengurusan Masa

Ibunya, lebih cenderung terhadap jadual pelajaran Chamack dan sering menasihatinya untuk lebih fokus pada pelajaran terlebih dahulu.

Chamack bersama keluarga.

"Kebanyakkan ibunya akan memantau pelajaran dia dan kami tidak pernah berhenti menyokong Chamack untuk mencapai apa yang dia inginkan.

Bagi Nazwan Chamack berkata, dia dan isteri tidak pernah mengongkong anak mereka untuk memilih mana-mana bidang yang anak mereka minati.

"Biasalah ibu bapa mana yang tidak mahu anak mereka berjaya dalam pelajaran dan juga bidang apa mereka sukai. Bagi saya tiada masalah yang penting dia pandai membahagi masa dalam pelajaran dan masa untuk FIFA.

"Sebagai ibu bapa kita perlu memantau tingkah laku anak-anak. Sekiranya, ada yang tidak betul kita tegur mereka supaya tidak menyesal dikemudian hari," katanya.

Highlights

linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram