Sony kini berdepan saman tindakan kelas di California daripada gamer yang mendakwa syarikat itu mendapat manfaat berlebihan daripada kenaikan harga PlayStation yang dikaitkan dengan dasar tarif AS.
Saman yang difailkan awal bulan ini mendakwa Sony menaikkan harga konsol PlayStation dalam tempoh kos import terkesan oleh tarif yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Trump pada 2025. Kes ini menuntut bayaran balik untuk mereka yang membeli konsol PlayStation ketika harga lebih tinggi itu berkuat kuasa.
Hujah utamanya agak straightforward: kalau Sony memindahkan kos tarif tambahan kepada pembeli, tetapi kemudian layak mendapatkan semula bayaran tarif itu daripada kerajaan AS, pelanggan tidak patut jadi pihak yang menanggung rugi.
Kenapa Sony disaman
Semua ini bermula pada 2025, apabila President Trump mengenakan tarif meluas menggunakan International Emergency Economic Powers Act. Sekitar tempoh yang sama, Sony menaikkan harga PS5 pada Ogos 2025, dengan alasan persekitaran ekonomi yang mencabar.
Kemudian situasi undang-undang berubah. US Supreme Court kemudian memutuskan 6-3 bahawa Trump tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif tersebut dengan cara itu. Ini bermaksud kerajaan persekutuan perlu membayar balik syarikat yang terkesan.
Menurut saman itu, Sony didakwa memindahkan kos import lebih tinggi kepada pengguna melalui kenaikan harga konsol, sambil turut layak menerima bayaran balik tarif kemudian. Aduan tersebut mendakwa situasi ini membolehkan Sony mendapat manfaat dua kali: sekali daripada pelanggan yang membayar lebih, dan sekali lagi daripada bayaran balik kerajaan.
Sony bukan satu-satunya syarikat yang terheret dalam isu ini. Tindakan undang-undang serupa yang diterajui gamer telah difailkan terhadap Nintendo pada April, manakala Amazon juga berdepan saman tindakan kelas berhubung isu lebih besar yang sama. Nintendo pula secara berasingan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan AS atas kerugian kewangan berkaitan tarif.
Apa maksudnya untuk gamer Malaysia
Untuk pemain Malaysia dan SEA, saman ini berfokus di AS, jadi jangan harap pemilik PS5 tempatan tiba-tiba dapat refund daripada kes ini. Tapi isu besarnya tetap penting: harga konsol sangat dipengaruhi oleh rantaian bekalan global, pergerakan mata wang, cukai, dan keputusan platform-holder.
Kita memang sudah nampak betapa sensitifnya harga hardware gaming di Malaysia. Satu konsol atau handheld boleh berubah daripada “masih okay lah” kepada “bro, mahal gila” bila kadar tukaran mata wang, margin distributor, shipping, dan harga serantau mula masuk kira. Bila syarikat besar naikkan harga sebab kos global, pembeli SEA selalunya tetap terasa kesannya walaupun dasar asal datang dari tempat lain.
Kes ini juga memberi tekanan kepada syarikat gaming supaya lebih jelas apabila mereka menaikkan harga hardware. Kalau syarikat kata kos naik kerana tarif atau keadaan ekonomi, pemain memang akan tanya: apa jadi kalau kos itu kemudian dibayar balik atau dibatalkan?
Itulah pengajaran sebenar di sini. Sama ada anda beli PS5, Switch, gaming laptop, GPU, atau handheld PC, harga hardware sekarang bukan lagi sekadar tentang specs. Ia juga tentang politik, peraturan perdagangan, logistik, dan sejauh mana kos itu syarikat pilih untuk lepaskan kepada gamer.
Buat masa ini, saman tersebut masih satu dakwaan, bukan keputusan muktamad terhadap Sony. Tapi dengan kes serupa melibatkan Nintendo dan Amazon, ini boleh menjadi pertarungan lebih besar tentang harga pengguna dan markup era tarif.
Source: Engadget